Arman DBA: Sebuah Kehilangan... Seribu Pengertian | Daud Bukit Abal

Khamis, 13 Oktober 2011

Sebuah Kehilangan... Seribu Pengertian | Daud Bukit Abal

Sebak rasanya di sudut penjuru hati ini bila mengenangkan Ayahanda yang tiada penggantinya..  Sebuah kehilangan yang sukar untuk diterima.  Bayang-bayang beliau muncul setiap hari seolah-olah menghantui diri ini. Perasaan yang tak pernah aku rasai sebelum ini.  

Namun, takdir yang Maha Esa telah menetapkan dia pergi dulu dan aku harus cekal menerima hakikat ini walaupun pahit. Aku percaya dia tenang disana, dan Allah S.W.T. menyayanginya.  Semoga rohnya ditempatkan di tempat yang mulia.

Kenangan bersama Ayahanda
Aku , Ayahanda , Amran(adik)
Kenangan bersama arwah tiba-tiba menjelma bertubi-tubi hari ini.  Aku cuba meredakan jiwa yang lara ini dengan melayari internet.  Banyak penghargaan yang beliau dapat dan banyak cerita tentangnya di alam maya.  Dan tak sangka juga berita kehilangan beliau mendapat liputan yang luas.  Aku sangka hanya diri  ini sahaja yang terasa kehilangan beliau.  Tetapi, ramai lagi yang meratapi.  

Sebuah Kehilangan Seribu Pengertian.  Aku masih mecari-cari hikmah disebalik pemergian ini.  

Dibawah aku selitkan salah satu liputan berita tentang kehilangannya.  InsyAllah aku cuba sedaya upaya untuk menghidupkan blog yang tak seberapa ini bagi meneruskan perjuangan seni Ayahanda (Daud Bukit Abal) yang mengalir laju dalam aliran darah ku ini.


19 Sep 
SELISING – Sebut sahaja nama Daud Bukit Abal atau nama sebenarnya Mat Daud Che Mat, 71, peminat seni dikir barat pasti mengenali beliau yang dianggap sebagai seorang tokoh kesenian di negeri ini. 
Kehilangan beliau bagaikan satu kehilangan yang besar, lebih-lebih lagi kepada penggiat seni dikir barat di negeri ini, apabila Daud Bukit Abal menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Isterinya, Zarinah Noor, 58, berkata, pemergian suami tercinta sangat mengejutkan dia dan seluruh ahli keluarga kerana beberapa hari sebelum itu, Daud Bukit Abal hanya mengalami demam panas sahaja.
“Saya sampai sekarang masih terkejut dan tidak menyangka demam panas yang dialami oleh arwah boleh membawa maut, bagaimanapun kami sekeluarga tetap redha dengan ketentuan Ilahi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Jenereh, di sini, semalam.
Arwah Daud Bukit Abal meninggalkan tiga anak bersama bekas isteri pertama, dan enam anak dengan isteri keduanya, Zarinah, serta 14 cucu.
Jenazahnya dikebumikan selepas Isyak di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Pak Esah.
Sementara itu sahabat arwah, Syed Kamal Syed Alwi, 56, atau lebih dikenali sebagai Pok Ku Kamal iaitu seorang tukang karut berkata, dia dan rakan-rakan yang lain sangat merasai dengan kehilangan tersebut.
“Arwah sudah lebih 50 tahun memperjuangkan seni dikir barat, dan boleh dikatakan ramai bakat-bakat baru yang ada sekarang ini adalah bekas anak didiknya.
“Kalau diingatkan kembali zaman muda-muda dahulu, Daud Bukit Abal sanggup mengorbankan apa sahaja, asalkan dapat memberikan yang terbaik kepada kami terutamanya anak-anak murid pada masa itu,” katanya.
Menurutnya, arwah sukar untuk dicari ganti kerana bakat yang ada serta kesungguhan beliau dalam seni suara dikir barat ini.
Posted in Berita Kelantan
*Mengikut akhbar Arwah meninggal disebabkan demam panas, namun cerita sebenar bukanlah macam tu, nanti cukup 40 hari insyaallah aku akan ceritakan sebab2 sebenar arwah meninggal . . .Insyaallah. . .

Petang ini, aku pulang ke Kampung Bukit Abal mencari kenangan-kenangan silam.  Pahit manis yang aku rasai di kampung. . .Sebagai pengubat hati ini agar terus segar menemani perjalanan hidup ku nanti. . .

Coretan dalam kenangan  ~ Sekadar luahan perasaan hati yg masih lagi meratapi kehilangan . . . . .

Comments
0 Comments

0 ulasan: