Arman DBA: Keratan Akhbar Utusan Malaysia 8 Ogos 2009

Isnin, 31 Oktober 2011

Keratan Akhbar Utusan Malaysia 8 Ogos 2009

Abe Daud masih berlagu


MAT Daud Che Mat membuat persembahan bersama kumpulan Sinar Baru Kampung Chicha di Kubang Keranji, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 7 - Bagi kebanyakan anak Kelantan yang berusia 40-an ke atas dan menggemari hiburan tradisional, mereka turut membesar bersama irama lagu-lagu dikir barat dendangan juara Daud Bukit Abal dan kalangan penghibur seangkatan dengannya.
Di era 60-an hingga 80-an, nama Daud Bukit Abal sempena nama kampungnya atau Mat Daud Che Mat,69, cukup gah - ia merupakan 'tiket' bagi penganjur persembahan menarik ramai penonton saban malam sama ada di kampung atau di pekan.
Namanya sebaris dengan juara yang tersohor ketika itu termasuk Jusoh Kelong, Ariffin Ana dan Salleh Jambu.
Suaranya sering berkumandang melalui slot dikir barat stesen radio tempatan yang ketika itu tidak mempunyai sebarang saingan dengan stesen-stesen lain.
Mat Daud yang membahasakan dirinya sebagai Abe Mat masih belum meninggalkan dunia pentas seni dan dia kini membimbing anak-anak muda termasuk di Kampung Kubang Keranji di sini untuk diwarisi penguasaan dikir barat dalam bentuk asalnya.
''Ambo ni mula ngajar sejak dari hari tu lagi pah ko loni (saya mula mengajar dikir barat sejak dari mula dahulu sampai sekarang)," katanya kepada rombongan pihak media dari Kuala Lumpur dan Jabatan Warisan Negara mengunjunginya baru-baru ini.
Bersamanya di bengkel latihan di Kubang Keranji pada hari tersebut lebih 20 orang belia yang terdiri daripada enam pemuzik dan awak-awak (penyahut suara penyanyi) giat berlatih.
Melihat betapa sukarnya dia mengatur langkah dan mengah suaranya ketika ditemubual, ternyata beliau sudah dimakan usia.
Namun apabila dihulur mikrofon untuk mengalun suara bagi mengenalkan tetamu tentang siapa dia sebenarnya, dia tampak tiada beza dengan juara atau 'tok jogho' muda yang lain kerana suaranya masih tetap gemersik.
Mat Daud adalah satu-satunya daripada empat juara dikir barat terulung di Kelantan yang masih hidup. Rakan seangkatannya yang masih aktif sejak 1960-an sudah tiada.
Dia sudah mengajar lebih 170 kumpulan dikir barat seluruh Malaysia termasuk di institut pengajian tinggi. Malah pengalamannya sering ditagih untuk menjadi juri dalam pertandingan dikir barat termasuk di Thailand dan Singapura.
''Saya tidak rasa seni dikir barat ini akan hilang ditelan zaman kerana ia disuburkan dengan cara yang lebih menarik, disesuaikan mengikut zaman.
''Anak-anak muda meminati gerak gaya yang cergas dan bunga tari dalam persembahannya, namun mereka perlu tahu dan turut menjaga keasliannya,'' kata Mat Daud.
Pada awalnya dia dikenali dengan gelaran Daud Yalley yang membawakan lagu-lagu irama padang pasir sebelum beralih kepada lagu-lagu Melayu Asli yang disesuaikan dengan lengguk dikir.
''Masa muda dulu saya bergerak dengan kumpulan sendiri, Kumpulan Bukit Abal, sebelum begerak bersendirian sebagai juara undangan.
''Sekarang saya masih mendapat jemputan dari kumpulan bekas-bekas anak murid saya yang meminta saya menjadi tok juara atau penyanyi utama dalam persembahan mereka."
''Setiap minggu beliau mendapat tidak kurang tiga jemputan bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga Terengganu dan Thailand," ujarnya.
Bagi Mat Daud, lagu dikir barat mesti mengikut peredaran zaman agar ia lebih bermakna dan bukan hiburan murah semata-mata.
''Saya boleh katakan pada zaman dahulu lirik dan lagunya hanya bermatlamatkan hiburan orang kampung. Hiburan sungguh-sungguh, tak ada faedah.
''Yang dinyanyikan berkisar tentang wanita dan hubungan kasih lelaki dan perempuan, sekadar hiburan melepas lelah selepas musim menuai padi.
''Tetapi sekarang banyak lagu dikir barat diolah untuk mengajak kepada kebaikan seperti dakwah Islam dan perpaduan rakyat," jelasnya.
Pesara tentera, Rosli Nawi, 43, ketua kumpulan dikir barat Sinar Baru, Kampung Chicha yang mendapat tunjuk ajar Mat Daud hari itu berkata, mereka menjemput tok juara veteran tersebut untuk mengajar kerana mahu mendapat ilmu dan seni itu yang asli.
''Mat Daud adalah satu-satunya rujukan asli dikir barat yang masih ada. Kita kumpulkan budak-budak untuk mendengar sebutan dan irama yang betul daripadanya. Rugilah kalau kita tidak ambil peluang berguru dengan beliau," katanya.
Mat Daud yang mempunyai pewaris 'sah' seni dikir barat menerusi dua anak lelakinya yang bergiat aktif di institusi pengajian tinggi dalam negara iaitu Arman, 28, dan Amran, 22, bercadang 'bersara' dalam masa dua tahun lagi.
''Lagipun anak murid ambo dah ramai. Satu Malaysia ini anak cucu pak cik belako," katanya yang sudah mencipta lebih 400 lagu.


*betol la arwah ayah betol2 bersara 2 tahun kemudian . . .

Comments
0 Comments

0 ulasan: