Temasya dikir barat meriah
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
azran.rahim@utusan.com.my
|
KELANTAN sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah alam dan juga kebudayaan masyarakatnya yang mungkin tidak dapat ditemui di negeri-negeri lain.
Salah satu daripada kebudayaan tersebut adalah dikir barat yang sudah menjadi darah daging rakyat di negeri ini dan tidak dapat dipisahkan lagi. Dikir barat juga merupakan salah satu identiti bagi negeri Kelantan, sama seperti wau bulan suatu ketika dahulu.
Bagi pengunjung terutama pelancong asing, kedatangan mereka ke Kelantan pasti disajikan dengan persembahan dikir barat yang turut mengetengahkan seni berpakaian dan gerak tari 'tukang karut' dan pendikir.
Sebut sahaja Fendi Kenali, Cikgu Sulizi, Zaidi Buluh Perindu, Ramli Raja Luat, Jen Enduro, Setapo Merak Mas dan Rozi Kemang Berduri pasti dikenali oleh rakyat negeri ini kerana mereka adalah pendikir yang cukup disegani dan kelibat mereka menarik kehadiran ribuan pengunjung.
Justeru, langkah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan mengadakan Temasya Dikir Barat Kelantan baru-baru ini amat bertepatan bagi memastikan budaya bangsa itu tidak terus ditenggelami zaman.
Temasya sehari pada 17 Oktober lalu dan dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila dibanjiri lebih 10,000 pengunjung.
Ia turut menghimpunkan kesemua nama besar artis dikir barat bersama 1,049 pendikir yang mewakili 46 kumpulan dikir barat dari seluruh Kelantan mengadakan persembahan secara serentak di Auditorium Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini.
Bagi Jen Enduro atau nama sebenarnya Mohd. Zain Ismail (gambar), penganjuran temasya seperti itu amat bertepatan bagi mengangkat martabat dikir barat sebagai budaya Kelantan agar ia tidak dilupakan oleh generasi muda.
Katanya, ia juga amat penting bagi memberi persepsi baru kepada dikir barat yang kian dihimpit muzik-muzik moden.
"Dahulu saya berpanggung di kampung-kampung, kini cara persembahan begitu sudah tidak laku, orang sudah tidak datang bukan kerana tidak mahu melihat dikir barat tetapi mereka kecewa kerana sering ditipu penganjur.
"Penganjur letak nama-nama pendikir yang hebat tetapi yang datang orang lain. Bagaimanapun dikir barat tidak sunyi, kami dipanggil membuat persembahan di hotel-hotel serta program khusus.
"Bagi saya, temasya seperti ini amat penting kerana ia dapat mengumpulkan semua pendikir dari seluruh pelosok negeri. Di sini kami dapat bertemu dan berbincang untuk memastikan seni budaya ini tidak hilang serta diubah suai mengikut arus moden sehingga merosakkan keasliannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Temasya itu juga diisi dengan aspek akademik melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Universiti tersebut mengambil inisiatif menganjurkan seminar berkaitan tradisi lisan supaya budaya seperti dikir barat dapat dikembangkan.
Rais dalam ucapannya pula meminta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara supaya mengkaji budaya lisan seperti dikir barat dan mendokumentasikan ia untuk generasi akan datang.
Apa yang pasti, temasya seperti itu memberi semangat dan lonjakan baru kepada penggiat dan penggemar dikir barat.
Bahang kekuatan dikir barat itu amat dirasai pada temasya tersebut. Memang benar dikir barat adalah darah daging bagi rakyat negeri ini dan seharusnya dipertahankan untuk warisan generasi seterusnya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1031&pub=utusan_malaysia&sec=Timur&pg=wt_05.htm&arc=hive